Bayi itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kesedar Putra di sini pada pukul 2.45 pagi tadi.

Sebelum itu, jenazah Aamina Inayah selesai dibedah siasat pada pukul 1 pagi dan telah disembahyangkan di Hospital Gua Musang.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang kelmarin, Aamina Inayah mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia selepas setengah jam menerima rawatan di Hospital Gua Musang.

Sementara itu, bapa Aamina, Mohd. Hafezul, 35, dan isterinya, Khazarina Sharing, 33, reda dengan kejadian yang berlaku.

Melalui kiriman di Facebook, Khazarina bersyukur apabila urusan pengebumian anak keduanya dipermudahkan.

“Alhamdulillah, anak syurga saya sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Kesedar Putra, Gua Musang hari ini pukul 2.45 pagi waktu Malaysia.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan,” kata Khazarina menerusi catatannya itu.

Khazarina dikatakan kali terakhir berjumpa dengan Aamina pada 3 Januari lalu apabila suaminya, Mohd. Hafezul bersama Aamina dan seorang lagi anaknya pergi ke Mekah.

Khazarina mula berkhidmat sebagai jururawat di Arab Saudi sejak enam tahun lalu.

Sementara itu, Mohd. Hafezul ketika dihubungi berkata, mereka tidak akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh yang baharu menjaga Aamina seminggu lalu dan menganggap kejadian itu ketentuan takdir.

“Kami terima ujian ini kepada keluarga kami. Isteri juga kelihatan tenang dan menerima takdir, tetapi naluri sebagai seorang ibu tetap juga berasa sedih.

“Jika kami meratap hiba sekalipun, Aamina tetap tak akan kembali lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE