Sementara itu, satu lagi kumpulan pengiring terdiri daripada gabungan penghulu daripada 112 mukim seluruh negeri seramai 72 orang termasuk pegawai istiadat istana diketuai oleh pemegang cogan alam, Nasrul Safarin Radzi dan pemegang cogan agam, Abdul Razak Osman melalui perjalanan sejauh 11 kilometer (km) ke Makam Diraja Langgar.

Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang diputerakan pada 28 November 1927, disahkan mangkat di Istana Anak Bukit pada 2.30 petang semalam.

Pengumuman kemangkatan baginda dibuat Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, melalui sidang akhbar khas dengan tujuh hari tempoh berkabung ditetapkan di Kedah manakala semua keraian, perayaan dan sambutan dibatalkan.

Bendera Kedah di semua bangunan Persekutuan, negeri dan milik awam di negeri itu juga perlu dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula semalam.

Tuanku Abdul Halim adalah satu-satunya Raja Melayu yang dua kali memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Kali pertama selaku Yang di-Pertuan Agong ke-5 pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975 dan kedua sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 13 Disember 2011 hingga 13 Disember 2016. - UTUSAN ONLINE