Jenazah Allahyarham telah dibawa dari rumah kakaknya di Taman Rashidah Utama ke Masjid Kariah Paroi Jaya untuk dimandi, dikafan dan disolat sebelum dibawa ke Masjid Kariah Kampong Pantai untuk disolatkan sekali lagi.

Kira-kira 1,000 orang hadir di tanah perkuburan berkenaan untuk memberi penghormatan terakhir kepada Ishak yang menjadi wakil rakyat selama empat penggal sejak 1995.

Ishak yang dilahirkan pada 17 Julai 1951 di Kampong Pantai, Seremban, meninggalkan seorang balu, Datin Norimah Ujang, 61, dan dikurniakan empat anak.

Ishak meninggal dunia kira-kira pukul 11.25 malam tadi selepas rebah ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka anjuran ADUN Seri Menanti, Datuk Abd. Samad Ibrahim di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Tanjong Ipoh dekat Kuala Pilah. - UTUSAN ONLINE