Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, masalah jemaah ditipu atau terkandas tidak sepatutnya berulang kerana pelbagai garis panduan dan amaran diberikan pihak berkuasa termasuk senarai pengendali yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

“Pertama sekali saya nak beritahu jemaah umrah tolonglah, cukup-cukuplah pergi bayar (pakej) yang RM3,000, RM3,500 tak habis-habis kena tipu takkanlah jemaah kita tak cerdik-cerdik lagi.

“Walaupun Tabung Haji tiada kena mengena sehingga 100 peratus dengan urusan umrah, tetapi akhirnya mereka yang terkandas akan hubungi kami balik sehingga saya terpaksa meminta konsul haji Tabung Haji untuk bantu urus mereka di sana,” katanya selepas merasmikan Program ‘Happy To School’ di Pagoh, sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed merangkap Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh.

Walau bagaimanapun Abdul Azeez berkata, Tabung Haji sama sekali tidak menggunakan duit jemaah haji untuk menyelamatkan mereka yang terkandas, tetapi perkara itu diuruskan oleh Biro Kebajikan UMNO.

“Jadi saya merayu dan nasihatkan kepada rakyat tolonglah kalau tak tahu tanya Tabung Haji, kita boleh semak dengan kementerian sama ada agensi berdaftar atau tidak,” katanya. -UTUSAN ONLINE