Majlis Sambutan Hari Kebangsaan yang diadakan secara bergotong royong tersebut dihadiri Pengurus Tabung Haji Maktab 81 Abd. Shukur Jangga bersama kakitangan selain dihadiri lebih 100 jemaah haji Malaysia.

Berucap pada majlis itu, Abd. Shukur berkata, kerjasama bagi menjayakan program tersebut merupakan terjemahan konsep Sayangi Malaysiaku biarpun berada di luar negara dalam meraikan hari bersejarah negara.

“Kita harap semangat ini dapat kita teruskan pada masa akan datang malah sepanjang jemaah melakukan ibadah saya melihat tingginya tahap komunikasi yang baik, kesopanan dan semangat kekeluargaan.

“Semangat ukhwah dan kekitaan yang terjalin dalam kalangan para jemaah diharap akan berterusan untuk dibawa pulang ke Malaysia tanpa mengira pangkat, kedudukan serta fahaman politik masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Komuniti Malaysia (MCCF), Halim Ishak yang turut berada di Mekah untuk mengerjakan ibadah haji kagum dengan semangat kerjasama serta disiplin para jemaah Malaysia.

Katanya, ini dapat dilihat ketika jemaah dari Maktab 81 melalui beberapa detik mencemaskan ketika berdepan ribut di Arafah serta kemalangan dua buah bas mengakibatkan kecederaan kepada beberapa jemaah. - UTUSAN ONLINE