Bercakap kepada wartawan Malaysia semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sudah bersedia melaksanakan sepenuhnya Operasi Masyair yang turut melibatkan wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Menurut Jamil Khir, pergerakan jemaah Malaysia akan bermula selepas waktu zuhur dan Tabung Haji menjangkakan kese­mua jemaah akan tiba di Arafah pa­da lewat malam jika aliran trafik bergerak lancar.

Sebanyak 22 bas disediakan un­­tuk membawa jemaah haji Ma­laysia melalui cara tiga penggi­liran perjalanan (3 trip) ke Arafah dan­ kesemua mereka akan di­tem­patkan di 2,000 buah khemah.

Pergerakan jemaah haji akan di­pantau menggunakan aplikasi Hajj Mobiliti melalui telefon pintar.

Melalui cara tersebut, ia akan membolehkan Tabung Haji mela­kukan tiga pemantauan utama iaitu laporan pergerakan bas, carian maklumat penting jemaah haji dan menghitung jumlah mereka.

Dalam usaha memastikan ke­semua jemaah haji Malaysia bo­leh melakukan wukuf, pasukan pe­rubatan Tabung Haji melaksana­kan Safari Wukuf bagi membawa pesakit dari pusat rawatan ke Arafah.

Mereka akan dibawa ke situ pa­da Ahad ini dan akan berada seketika di Arafah sebelum dibawa kembali ke pusat rawatan. Seba­nyak dua buah bas yang diubah suai, tujuh buah ambulans dan dua buah bas biasa disediakan bagi tujuan tersebut.

Selain itu, Tabung Haji juga terus menunjukkan keprihatinan kepada golongan warga emas apabila 60 orang daripada mereka akan diberikan perkhidmatan ‘satu petugas satu jemaah’ sepanjang Operasi Masyair.

Pada masa yang sama, pihak Muassasah Asia Tenggara mela­kukan beberapa penambahbaikan untuk jemaah haji khususnya dalam menghadapi cuaca panas.

Antara langkah yang dilakukan ialah penyediaan kipas semburan air bagi mengurangkan kepanasan udara serta mengawal risiko strok haba dan keletihan akibat cuaca panas di Arafah, manakala di Muzdalifah pula disediakan karpet bagi memberi keselesaan kepada jemaah bermalam selain pengagihan pek makanan dan minuman. Di Mina, tandas khas bagi membuang air kecil turut disediakan.

Menyentuh soal wukuf di Arafah, Jamil Khir menasihatkan jemaah haji mengambil peluang berada di Arafah dengan memperbanyakkan zikir, membaca al-Quran dan bermunajat kepada Allah.

Sementara itu, hari ini, Jamil Khir meneruskan lawatan ke maktab-maktab penginapan bagi meninjau keadaan jemaah haji Malaysia dengan diiringi oleh Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.