Syed Saleh Syed Abdul Rahman
SYED SALEH

Hari wukuf yang merupakan rukun haji pada tahun ini jatuh pada 20 Ogos selepas kerajaan Arab Saudi semalam mengumumkan bahawa hari ini adalah 1 Zulhijah.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menasihatkan jemaah agar tidak mendedahkan diri kepada cuaca panas.

Menurutnya, jemaah akan mula bergerak ke Arafah pada 8 Zulhijah dan sudah tentu pergerakan dan keberadaan mereka di Arafah menuntut tumpuan ibadah yang besar serta pengorbanan dari segi tenaga dan fizikal.

"Di sana mereka tinggal dalam khemah, bukan hotel. Jemaah dinasihatkan membawa barang-barang yang secukupnya iaitu yang disarankan Tabung Haji sahaja.

"Jangan bawa berlebihan kerana ruang yang sempit di khemah Arafah dan Mina akan menyulitkan jika bawa barang berlebihan," katanya.

Beliau juga menasihatkan jemaah agar mengikuti semua jadual pergerakan yang ditetapkan Tabung Haji dan Muassasah Asia Tenggara terutama untuk melontar di jamrah.

"Ada jadual untuk negara masing-masing, Malaysia juga ada jadualnya. Jadi, kena ikut jadual supaya tidak berlaku jemaah terlalu ramai pada satu-satu masa di jamrah yang boleh membawa kepada rempuhan," katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini hampir 82 peratus jemaah Malaysia sudah berada di Mekah.

"Tiada lagi jemaah di Madinah, semua sudah bergerak memasuki Mekah, hanya tinggal beberapa penerbangan lagi untuk bawa jemaah masuk terus ke Mekah dengan penerbangan akhir dijangka pada 15 Ogos ini," katanya.

Sementara itu, kerajaan Arab Saudi menerusi pesanan-pesanan umum menasihatkan jemaah agar tidak tolak menolak di kawasan sesak.

Jemaah juga dinasihatkan tidak mendaki kawasan tinggi bagi memastikan keselamatan masing-masing. - UTUSAN ONLINE