Bacaan surah yasin juga diadakan selepas solat isyak malam tadi di maktab-maktab penginapan jemaah haji tersebut atas usaha Urusetia PKHYABPM 2016.
Maktab tersebut adalah Maktab 86 Abraj Al-Janadriyah, Maktab 90 Raudhat Al-Shorouq dan Maktab 88 Land Premium yang me­nempatkan lebih 1,100 jemaah haji tajaan PKHYABPM 2016.

Ketua Urusetia PKHYABPM 2016, Saiful Azhar Shaharun berkata, majlis doa selamat itu sebagai manifestasi kecintaan rakyat Malaysia terhadap nega­ra dan harapan mereka agar keamanan dan kemajuan nega­ra berterusan dan berkekalan.
Di Maktab 90 Ruadhat Al-Shorouq, bacaan doa selamat dipimpin oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Jogi Suhaili yang juga jemaah haji PKHYABPM 2016.

Di maktab tersebut yang me­nempatkan hampir 1,200 orang termasuk 442 jemaah PKHYABPM 2016 turut diadakan sam­butan Hari Kebangsaan hari ini. 
Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua Urusetia PKHYABPM 2016, Saiful Azhar Shaharun yang menyeru agar para jemaah mendoakan kesejahteraan dan kemakmuran negara di bawah kepimpinan sedia ada.

Beliau turut menyeru agar para jemaah dapat mengekalkan keharmonian serta memastikan syiar Islam terus disuburkan di Malaysia. 
Majlis ringkas tersebut diteruskan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Inilah Barisan Kita oleh para jemaah dan disudahi dengan bacaan doa.

Dalam pada itu seorang jemaah haji, Nasrul Hakim Jamaluddin, 36, melahirkan rasa bertuah kerana dapat menyambut Hari Kebangsaan tahun ini di tanah suci bersama warga Malaysia yang lain.