Tunku Sallehudin bertitah, semua jemaah perlu mematuhi nasihat dan arahan daripada pihak berkuasa Arab Saudi serta peraturan Tabung Haji bagi menjamin keselamatan mereka dan demi menjaga nama baik Malaysia dan negeri Kedah.

“Saya juga ingin menasihatkan jemaah haji agar sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan diri bagi memastikan pelaksanaan ibadah haji berjalan dengan lancar,” kata baginda dalam Majlis Mengucapkan Selamat Jalan kepada jemaah haji negeri Kedah ke Tanah Suci di sini semalam.

Tunku Temenggong Kedah itu diiringi isteri, Tunku Puan Temenggong Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff; Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Titah Tunku Temenggong, jemaah haji juga diharap akan terus bersatu hati untuk mengelak melakukan perbalahan demi kesejahteraan ummah.

“Sekarang ini, banyak negara yang menjadi sasaran pengganas dan berada dalam ke­adaan bergolak. Oleh itu, saya menyeru kepada jemaah haji semasa berada di Tanah Suci nanti berdoa kepada Allah akan kesejahteraan dan keamanan negara dan negeri yang kita cintai ini,” titah ba­ginda.

Dalam majlis tersebut, seramai 150 jemaah haji yang merupakan kumpulan kelapan dari Kedah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah pada 5.30 pagi.