Mereka tidak menduga, ‘penahanan’ itu sebenarnya ada kenangan manis yang tidak boleh dilupakan sepanjang hidup mereka.

Mohamad Khair Jamaen, 48, dari Negeri Sembilan dan Suhaimi Wan Ab Hamid, 43, dari Kelantan cukup bertuah apabila dipilih secara rambang daripada ratusan ribu jemaah bersama lapan jemaah dari negara lain untuk menerima penghargaan daripada Imam Masjidilharam, Dr. Abdul Rahman Al-Sudais dalam satu majlis ringkas di masjid berkenaan.

“Pihak berkuasa Arab Saudi menarik saya semasa saya sedang hendak memulakan solat maghrib di masjid. Saya tidak tahu apa kesilapan yang telah saya buat. Saya jadi takut.

“Saya bersyukur, rupanya saya insan bertuah kerana diberi penghargaan ini,” kata Mohamad Khair kepada wartawan Malaysia selepas menerima penghargaan itu di Masjidilharam di sini, semalam.

Dia bersama sembilan lagi jemaah haji telah dibawa ke satu kawasan yang dihamparkan permaidani dan berpagar untuk melakukan solat maghrib di situ, tanpa mengetahui apa yang akan berlaku.

Wartawan Malaysia, Ainol Amriz Ismail (Utusan Malaysia), Ahmad Lokman Mansor (NST), Elmi Rizal Elias (Bernama) dan Nasharuddin Muhammad (Harian Metro), berpeluang menyaksikan majlis bersejarah tersebut selepas menemui isterinya, Norazah Mohamad, 47 yang pada masa itu sedang menangis di satu sudut sambil menyaksikan suaminya ‘ditahan’ dalam kepungan penghadang besi, selain dikawal ketat pihak berkuasa.

Pada masa itu, Norazah hanya berhubung dengan Mohamad Khair menggunakan aplikasi WhatsApp.

Wartawan Malaysia berjaya menenangkan Norazah dan memujuknya supaya bertenang sehingga majlis itu selesai.
“Saya takut. Saya tidak tahu hendak buat apa,” katanya.

Sementara itu, Wan Suhaimi yang terpisah dengan isterinya, Nadzrimah Moktar, 40, dan gagal menghubunginya melalui telefon kerana ‘ditahan’ dalam majlis tersebut.

“Saya terkejut apabila ditahan tetapi akhirnya saya bersyukur kerana diberi penghargaan ini. Saya berpeluang bertemu dan bersalam dengan Imam Masjidilharam,” katanya sambil tersenyum.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan melalui laman web rasmi Masjidilharam, pemberian hadiah itu adalah sebahagian daripada kempen ‘Berkhidmat untuk jemaah haji adalah satu penghormatan bagi kami’.

Terdahulu majlis serupa diadakan pihak Masjidilharam untuk memberikan penghargaan kepada anggota keselamatan, pekerja pembersihan dan lain-lain yang juga dipilih secara rambang.

Abdul Rahman Abdul Aziz al-Sudais dalam kenyataan itu menasihatkan pekerja memberikan khidmat yang terbaik dalam menjayakan musim haji kali ini sebaik sahaja mereka tiba dan kembali ke tanah air.

Kesemua penerima penghargaan itu mendapat senaskhah al-Quran, sejadah dan air 
zam­zam. – UTUSAN