Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, langkah tersebut perlu bagi membolehkan mereka melakukan Rukun Islam kelima itu dengan sempurna dan selamat.

Katanya, seramai 30,200 jemaah akan menunaikan kewajipan tersebut bermula dengan penerbangan pertama yang dijadualkan 24 Julai ini.

“Musim haji pada setiap tahun akan didatangi dengan pelbagai ujian dan tahun ini antara isu yang berbangkit adalah kemelut yang sedang berlaku di negara Arab.

“Namun, kami menasihati rakyat Malaysia yang menunaikan haji tahun ini untuk sentiasa mendengar nasihat dan menge­lakkan penglibatan dalam perkara yang tidak perlu ketika berada di sana,” katanya selepas menghadiri Program Ziarah Kasih anjuran Yayasan Tabung Haji dan UMNO di Dewan Serbaguna Taman Mawar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad.

Pada program tersebut, seramai 476 orang terdiri daripada golongan asnaf menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM200 dan barangan keperluan bernilai RM100 setiap seorang.

Menurut Abdul Azeez, pada musim haji tahun ini seramai 480 petugas Tabung Haji berada di sana bagi membantu menguruskan keperluan jemaah negara ini.

“Petugas Tabung Haji terlibat akan memberikan nasihat dan panduan setiap hari dan saya mendoakan agar setiap jemaah beroleh haji yang mabrur,” katanya.