SYED SALEH SYED ABDUL RAHMAN menunjukkan aplikasi Hajj Mobily yang akan digunakan bagi memantau pergerakan bas membawa jemaah haji Malaysia ke Arafah dalam taklimat khas di Mekah kelmarin.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, mereka sama sekali tidak dibenarkan melakukan aktiviti itu secara bersendirian atau tidak mengikut jadual yang ditetapkan kerana boleh mendedahkan mereka kepada isu keselamatan.

“Jangan melontar di luar ja­dual kerana itu merupakan satu kesalahan dan akan ditegur oleh kerajaan Arab Saudi. Pada masa sama jika mereka melakukan pergerakan bersendirian boleh mengakibatkan mereka bertembung dengan jemaah lain dan ini boleh mewujudkan ancaman keselamatan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat khas mengenai operasi masyair kepada wartawan Malaysia di sini semalam.

Operasi masyair melibatkan pelaksanaan rukun dan wajib ibadah haji iaitu wukuf di Arafah, bermalam di Mudzalifah dan melontar di Mina.

Syed Saleh berkata, kerajaan Arab Saudi akan memantau aktiviti melontar yang bermula pada 12 September hingga 15 September ini menggunakan helikopter dan kamera litar tertutup.

“Kita juga menasihatkan jemaah supaya tidak melakukan tindakan berulang alik dari Mina ke Mekah untuk aktiviti melontar kerana jika berlaku sesuatu kita sukar mengesan mereka,” katanya.

Dalam taklimat itu juga, Syed Saleh berkata, buat pertama kali tahun ini Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan memantau pergerakan bas yang membawa jemaah haji Malaysia ke Arafah melalui aplikasi khas.

Beliau berkata, melalui aplikasi yang dinamakan Hajj Mobily itu, pusat operasi Tabung Haji akan dapat mengetahui kedudukan sesebuah bas dan mengetahui masalahnya jika berlaku kelewatan.

Syed Saleh menjelaskan, pergerakan jemaah haji memasuki Arafah akan bermula pada Sabtu ini secara tiga pusingan menggunakan bas yang berulang alik.

“Kumpulan pertama akan bergerak kira-kira pukul 1.30 tengah hari (pukul 6.30 petang waktu Malaysia) dan setiap maktab diperuntukkan 22 buah bas bagi membawa jemaah ke Arafah,” katanya.