Menurut Pengarah Operasi (Kewangan) Tabung Haji, Nor Aida Ahmad, jumlah yang sesuai untuk dibawa adalah 500 riyal (RM540) bagi kegunaan dua atau tiga hari selepas tiba bergantung kepada keperluan jemaah.

Katanya, selepas itu jemaah boleh membuat pe­ngeluaran wang da­ripada akaun Tabung Haji masing-masing di kaunter kewangan yang disediakan di zon penginapan dan maktab-maktab.

“Selepas rehat dan melakukan ziarah, untuk hari seterus­nya boleh datang ke kaunter bagi membuat pengeluaran wang,” katanya di sini.

Menurut beliau, jemaah hanya perlu membawa tag yang diberikan Tabung Haji untuk membuat pengeluaran wang dan had pengeluaran sehari adalah 5,000 riyal (RM5,400).

Katanya, semua transaksi adalah dalam riyal dan kaunter itu tidak menyediakan khidmat tukaran wang daripada ringgit ke riyal.

Beliau memberitahu, di Madinah sebanyak sembilan kaunter disediakan iaitu empat di Zon 1 (Hotel Al Haram), tiga di Zon 2 (Hotel Movenpick) dan dua di Zon 3 (Hotel Ro­wadha Al Aqiq).

Beliau memberi jaminan khidmat kaunter yang disediakan adalah cepat iaitu kira-kira se­minit untuk setiap transaksi.

“Seramai 47 petugas disediakan iaitu 40 orang juruwang iaitu sembilan orang di Madinah dan 31 orang di Mekah, manakalanya selebihnya untuk kerja pengurusan,” katanya.

Menurutnya, selain pengeluaran dan menyimpan wang, kaunter itu juga menyediakan ­khidmat membayar dam dan untuk korban.

Jelasnya, bayaran dam untuk tahun ini adalah 430 riyal manakala korban kibas 475 riyal dan korban lembu 4,150 riyal.