Hasnah yang ditemui wartawan Malaysia di maktab penginapan Hotel Rehab Al-Janadriyah di sini berkata, dia bersyukur kerana terpilih untuk mengerjakan ibadah haji tahun ini.

“Masa dapat maklumat daripada Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang saya terpilih, kelam kabutlah untuk buat persiapan.

“Bersyukur sangat sebab sudah lama menunggu untuk datang ke sini (Mekah),” jelasnya.

Hasnah yang telah beberapa hari berada di Tanah Suci ditemani adiknya, Mohd. Saad Shawal, 69, serta adik iparnya, Manis Sidek, 69.

“Saya daftar hendak ke Tanah Suci ini sudah lama dan kumpul sikit-sikit termasuk ada duit pusaka peninggalan keluarga.

“Dapatlah saya ke sini. Seronok, tidak tahu hendak cakap apa, selain bersyukur,” tambahnya.

Has­nah berkata, setiap kali ke Masjidilharam, ada orang yang akan membantunya berjalan bersama atau menaiki kenderaan.

“Tidak susahlah, ramai tolong saya ke Masjidilharam. Tabung Haji juga bagus sebab banyak bantu. Bila dengar azan, rasa sedih dan sayu sangat,” katanya dalam nada tersekat dan sesekali mengusap air mata yang mula mengalir.

“Bila datang ke Mekah ini, ra­sa hendak duduk terus di sini,” katanya.

Sementara itu Manis memberitahu, dia tidak berhadapan masalah menjaga kakak ipar­nya dan sentiasa bersama.

“Petugas Tabung Haji selalu berikan ingatan supaya tidak terlepas genggaman tangan Hasnah.

“Senang menjaganya sebab apa yang kita cakap, dia akan ikut.

“Kali pertama kami melakukan umrah wajib, baru buat satu pu­singan sudah kena rempuh. Kami tidak dapat meneruskannya.

“Kemudian pada waktu ma­lam, kami cuba sekali lagi dan saya menolak Hasnah menggunakan kerusi roda dan membuat tawaf di bahagian bawah dekat dengan Kaabah.

“Alhamdulillah, kami dapat lakukannya,” kata Manis.

Ma­nis bersyukur kerana Allah memilihnya untuk menjaga kakak dalam ibadah haji ini dan itu memang satu tanggungjawab yang besar. UTUSAN