ISMAIL MOHD. ZIN

Penyandang Pesaka Luak Jelebu, Datuk Pangkal Maharaja Lela, Kadim Kidam berkata, walaupun Perut Durian Daun telah diama­nahkan untuk menerima giliran tersebut, pihaknya tidak dapat menerima Ismail sebagai penya­ndang jawatan tersebut.

Beliau yang juga Datuk Ombi berkata, mengikut adat, Ismail tidak layak menyandang jawatan utama dalam barisan Datuk Lembaga Yang Delapan itu kerana sudah dua kali mengangkat dirinya dengan sokongan orang tertentu menjadi Datuk Menteri secara tidak sah iaitu pada Mac 2016 dan Jun tahun lalu.

“Ismail tidak membuat rujukan kesempurnaan adat apabila meneruskan tindakan mengatur majlis pelantikan Undang Luak yang baharu pada awal Jun tahun lalu dengan mendakwa telah mendapat restu daripada kerajaan negeri.

“Dakwaan itu telah menimbulkan kemarahan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan kenyataan itu satu pembohongan. Beliau kemudiannya tidak membenarkan Balai Undang Luak Jelebu digunakan dan mela­rang pegawai kerajaan menghadiri majlis itu,” katanya di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Ismail telah diisytiharkan sebagai Datuk Menteri oleh Ibu Soko Datuk Menteri, Rohani Mohd. Zain; Datuk Amar Pahlawan Abd. Rahman Adam dan Datuk Lela Raja Mohd. Nor Yakob pada satu majlis di Telapak Datuk Amar Pahlawan, Petaling dekat sini.

Jawatan itu kosong hampir dua tahun lalu sejak Mat Tarmizi Selamat dipecat daripada kedudukan tersebut oleh Anak-anak Buahnya.

Kadim memberitahu, selepas dilarang menggunakan Balai Undang tersebut, kumpulan yang diketuai Ismail telah berpindah menggunakan telapak calon Undang dan terus mengisytiharkan Undang Luak yang baharu.

“Mereka yang terlibat ini sudah tentu bersalah kerana me­langgar peradaban adat,” katanya sebagai Datuk Lembaga yang kanan memberi watikah kepada bakal Datuk Menteri yang baharu.

Tambahnya, sebahagian besar daripada Datuk Lembaga Yang Delapan tidak menghadiri majlis pengisytiharan yang dibuat Jumaat lalu kerana tidak setuju dengan tindak tanduk oleh kumpulan Ismail.

Bagi meredakan kontroversi itu, Kadim mencadangkan agar Perut Durian Daun mengemukakan beberapa orang calon lain yang sesuai dan meyakinkan.

“Panel Jawatankuasa Khas Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan boleh duduk bersama untuk meneliti calon yang ada merit atau perlu ditemuduga,” ujarnya.