Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) Selangor, Zulkifly Gharib berkata, pihaknya masih tertanya-tanya berhubung pelaksanaan instrumen itu kerana masih baharu dalam bidang hartanah walaupun telah diguna pakai dalam industri perniagaan dan projek ekonomi lain.

“Saya dimaklumkan instrumen property crowd funding itu telah dilaksanakan di negara-negara Barat dalam membantu rakyat negara-negara itu membeli rumah tetapi instrumen ini masih baharu jadi kita perlu melihat bagaimana peraturan dan mekanisme akan dilaksanakan di negara ini.

“REHDA sendiri juga masih melakukan kajian berhubung instrumen itu selepas pengumuman mengenainya dibuat dalam Belanjawan 2019 dan menunggu maklumat lanjut berhubung pelaksanaannya,” katanya mengulas pembenta­ngan Belanjawan 2019 pada minggu lepas melibatkan perkara Perumahan Untuk Semua, di sini hari ini.

Zulkifly berpendapat, instrumen terbabit perlu dilaksanakan sebagai satu pilihan untuk pembeli rumah dan tidak menggantikan skim pembiayaan perumahan sedia ada.

“Negara ini sudah mempu­nyai banyak peraturan dan skim pembiayaan rumah dan pengenalan instrumen itu lebih baik dilakukan sebagai pilihan kepada pembeli berdasarkan situasi sekarang yang membabitkan harga dan kos rumah,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Persatuan Pembeli Rumah Kebangsaan (HBA), Chang Kim Loong berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung instrumen terbabit pada minggu hadapan.

“Pihak kementerian telah menghubungi kami berhubung perkara ini dan meminta kami bersedia bertemu menteri bagi membincangkan perkara itu. Semua permasalahan dan isu-isu berbangkit akan dibawa dalam pertemuan itu,” katanya tetapi enggan mengulas lanjut perkara tersebut.