Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Hazmi Mohd. Rusli berkata, tanggapan ramai umat Islam bahawa sebatan sebanyak enam kali itu merupakan hukuman kejam adalah persepsi tidak adil kepada institusi perundangan syariah dan disifatkan sebagai amat malang.

Sehubungan itu Mohd. Hazmi berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dengan tampil memberi penjelasan bahawa hukuman sedemikian bukanlah bertujuan menghukum sepenuhnya dan tidak melanggar hak asasi manusia.

“Elemen sebatan termasuk kepada wanita dalam perundangan syariah wujud hanyalah untuk memberi pengajaran, bukannya memalukan pesalah. Malah, saya tidak bersetuju sekiranya ada yang beranggapan hukuman itu kejam kerana sebat dalam syariah tidak seperti hukuman sebat dalam undang-undang sivil.

“Masyarakat juga perlu belajar untuk menghormati undang-undang syariah. Hukuman yang dilaksanakan pula hanyalah mengikut kepada peruntukan undang-undang yang telah termaktub di bawah enakmen undang-undang, bukannya dilakukan sesuka hati,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas persepsi negatif masyarakat termasuk Lawyers for Liberty (LFL) yang mendakwa pelaksanaan hukuman sebatan syariah terhadap dua wanita yang dilakukan oleh Mahkamah Syariah Terengganu kerana terlibat dengan hubungan sejenis tidak selari dengan cara Islam berkembang di negara ini.

Pengarah Eksekutif LFL, Latheefa Koya mendakwa, hukuman tersebut juga tidak mencerminkan ajaran Islam sebenar yang menekankan konsep rahmat serta perlindungan privasi kepada individu.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, mana-mana pihak termasuk bukan Islam tidak sepatutnya mempertikaikan cara Islam mendidik dan mengajar penganutnya.

Jelas beliau, Islam memandang kebaikan dan maslahat masyarakat lebih diutamakan berbanding kepentingan perseorangan bagi mengelakkan kerosakan, keruntuhan moral dan sebagainya.

“Orang bukan Islam seha­rusnya melihat dari perspektif bagaimana lembut dan santun Islam menghukum pesalah. Perkara itu turut dilaksanakan semasa proses sebatan semalam yang mana diadakan secara tertutup dengan melindungi maruah pesalah, malah wajah mereka juga tidak dipamerkan.

“Selain itu, hukuman sebatan di khalayak ramai itu juga bukan bertujuan menzalimi pesalah sebaliknya hanya memberi mesej dan keinsafan kepada semua orang agar tidak melakukan kesalahan yang sama,” ujar beliau.