Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, program itu merupakan satu pendekatan mesra rakyat oleh kerajaan dalam mewujudkan kesedaran awam dan mencetuskan perubahan min­da masyarakat ke arah agenda pembangunan teknologi hijau di negara ini.

Menurutnya, pendedahan itu seterusnya akan menjadikan agenda kehidupan hijau sebagai pendekatan bagi perpaduan antara kaum dan agama dalam memacu pertumbuhan negara secara lestari.

“Program YaHijau merupakan inisiatif berterusan kementerian yang berperanan untuk memberi pendidikan, kesedaran, membudaya, mempromosi dan menggalakkan penyertaan masyarakat serta badan korporat tentang penggunaan aplikasi teknologi hijau dan pembudayaan amalan hidup hijau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Jelajah YaHijau Sabah 2017 Siri Pertama di Matunggong, dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri, Delin Liet Blaun; Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Ir. Mohd. Aminuddin Mohd. Amin; Ketua Pegawai Eksekutif YaHijau Amin Abdullah serta Penolong Pegawai Daerah Matunggong, Bla­nus Kontong.

Pada majlis itu, TNB yang diwakili Mohd. Aminuddin menyam­paikan cek berjumlah RM500,000 kepada Amin sebagai tajaan penganjuran program jelajah YaHijau di seluruh Malaysia.

Selain itu, Maximus menambah, penganjuran program Jelajah YaHijau Sabah siri pertama di Matunggong adalah pembuka tirai jelajah di seluruh negeri ini.

Jelasnya, ini merupakan tahun kedua pelaksanaan program tersebut yang mana tahun lalu program sama diadakan di lapan lokasi di Sarawak iaitu Santubong, Tapah, Sebauh, Kapit, Siniawan, Tarat, Sungai Asap dan Lawas.

Bagi Mohd. Aminuddin, penajaan TNB dalam program Jelajah YaHijau itu adalah selari dengan agenda TNB yang mahu membudaya dan melestarikan kehidupan hijau dalam kalangan masyarakat.

“Kita tidak ragu dengan kemampuan YaHijau dalam men­dekati rakyat memberi kesedaran mengenai amalan hidup hijau dan ini merupakan komitmen selain tanggungjawab sosial korporat TNB kepada masyarakat.

“Bagi pihak TNB kita sentiasa menyokong sebarang usaha untuk melestarikan amalan hidup hijau di negara ini termasuk di Sabah,” katanya.