Program yang bermula sejak Khamis lalu dijangka tamat pada 30 April ini melibatkan 11 negeri, 13 kawasan Parlimen dan 36 buah sekolah di seluruh negara.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, program tersebut menekankan beberapa elemen antaranya semangat cintakan negara, nilai-nilai murni dan buli.

"Program seperti ini diharap dapat meningkatkan nilai murni rakyat Malaysia sekali gus mengurangkan gejala sosial dalam negara, khususnya membabitkan Generasi Y.

"Ini kerana generasi ini merupakan generasi harapan negara yang amat bernilai bagi memastikan Malaysia terus cemerlang di mata dunia," katanya berucap melancarkan program Jelajah Solo Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Damansara Aliff, di sini sebentar tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Operasi) PTPTN, Mastura Mohd. Khalid.

Tambah Wan Saiful, PTPTN telah membantu seramai 3.02 juta pelajar di negara ini untuk melanjutkan pengajian ke peringkat pengajian tinggi sehingga 28 Februari tahun ini.

Katanya, bantuan tersebut membabitkan dana berjumlah RM56 bilion. - UTUSAN ONLINE