Walaupun gagal ke peringkat seterusnya, Jeffri yang kini bermastautin di Newcastle Upon Tyne, berkata, dia akan tetap meneruskan minatnya itu kerana sudah menjadi impiannya bergelar penyanyi sejak kecil.

“Kegagalan ini tidak akan mematahkan semangat saya, ini bukan satu-satunya program realiti yang saya sertai. Mungkin kali ini orang tahu kerana menjadi viral dan saya juga tidak sangka sebenarnya.

“Kalau ikutkan, saya memang sudah menjadi penyanyi di sini, malah ada juga mengadakan persembahan dalam acara yang melibatkan majlis anjuran orang Malaysia sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Merupakan siswazah dalam bidang kejuruteraan, Jeffri yang hampir 15 tahun meninggalkan Malaysia tidak menolak tetap dekat dengan negara ini.

Malah katanya, jika ada tawaran untuk dia meneruskan kerjayanya di Malaysia, tentunya peluang itu tidak akan ditolak.

“Saya lulusan UiTM (Universiti Teknologi Mara) dalam bidang kejuruteraan sebelum melanjutkan pengajian ke Universiti Newcastle Saya mengikut keluarga angkat berpindah ke sini.

“Sebagai pemegang taraf pemastautin tetap, perlu saya katakan kehidupan saya kini di Newcastle. Saya juga sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai jurutera di sini. Cuma jika ada jemputan nyanyian di Malaysia saya tidak akan menolak,” katanya.