Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, kepercayaan dan keyakinan Sultan Johor itu menunjukkan baginda percaya dengan kemampuan syarikat konglomerat negeri ini yang sememangnya mempunyai rekod membanggakan.

“Sebagai pelaksana fasa pertama projek itu, JCorp akan berusaha sedaya-upaya untuk memastikan projek itu dapat siap dalam tempoh dan spesifikasi ditetapkan.

“Dengan pengalaman yang ada, saya yakin kami di JCorp dan Johor Land Bhd. mampu melaksanakan projek itu seperti dirancang,” katanya dalam satu kenyataan, di sini sebentar tadi.

Mengenai tindakan orang ramai yang menyerbu kaunter pendaftaran semalam, Kamaruzzaman berkata, perkara itu berlaku tanpa dijangka kerana sambutan luar biasa yang begitu menggalakkan daripada rakyat negeri ini.

Tambahnya, sejak pendaftaran dibuka secara dalam talian semalam dan setakat 12 tengah hari ini, sebanyak 265,000 pra-permohonan untuk mendapatkan rumah tersebut diterima. - UTUSAN ONLINE