Mohamed Khaled Nordin

Wakaf saham yang diperkenalkan oleh Larkin Sentral Property Sdn. Bhd., menerusi Waqaf An Nur Corporation Bhd., sebuah entiti ditubuhkan JCorp itu juga didaftarkan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan diperakukan sebagai patuh syariah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaksanaan wakaf saham tersebut merupakan satu inovasi baharu dalam usaha memastikan sistem wakaf dapat terus diperkasakan dengan tadbir urus yang lebih baik.

Menurutnya, wakaf saham itu diperkenalkan dengan matlamat khusus untuk mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan membiayai pembangunan naik taraf dan baik pulih Bangunan Terminal Pengangkutan dan Pasar Awam Larkin Sentral.

Wakaf saham berkenaan itu juga akan digunakan untuk membiayai kos pembelian tanah, pembinaan ruang letak kereta bertingkat dan beberapa lot perniagaan yang akan disewakan kepada antaranya ibu tunggal dan golo­ngan kurang berkemampuan untuk berniaga dengan kadar sewa berpatutan.

“Menerusi wakaf saham itu, sebanyak RM85 juta tawaran saham baharu diperkenalkan membabitkan 850 juta unit dan bagi mencapai sasaran itu, ia akan dibuka kepada semua lapisan masyarakat sama ada institusi dan orang awam dengan kadar minimum RM100.

“Kita akan bergerak secara serius untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya dalam Majlis Pelancaran Prospektus Waqaf Saham Larkin Sentral dan Santapan Berbuka Puasa JCorp oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Sultan Ibrahim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini semalam.

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani dan Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamed Khaled berkata, antara insentif yang ditawarkan ialah pewakaf individu akan mendapat potongan cukai sehingga tujuh peratus manakala pewakaf institusi pula sehingga 10 peratus daripada pendapatan agregat masing-masing.

Tambahnya, menerusi wakaf saham bagi pelaksanaan Larkin Sentral itu juga bukan sahaja memberi peluang untuk beramal, malah apabila projek tersebut siap kelak, ia akan memberi manfaat kepada lebih sembilan juta pengunjung setahun.

“Prospektus wakaf saham itu didaftarkan di SC, maka segala proses penawaran, pengurusan serta pelaporan dana wakaf itu dibuat dengan tersusun, profesional dan telus, sekali gus membolehkan pewakaf mengetahui perkembangan pembangunan Larkin Sentral seperti dijanjikan,” katanya.