Pengarahnya, Azmi Osman berkata, program tersebut diwujudkan kerana berdasarkan kajian yang dilakukan, kebanyakan golongan terbabit mengalami kesukaran untuk menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran.

“Satu perbincangan akan dilakukan bersama ketua balai pada hujung bulan ini untuk mengenal pasti setiap premis yang menempatkan OKU. Ini bertujuan memudahkan kita melaksanakan tindakan jika berlaku kejadian tidak diingini.

“Program ini tidak hanya memberi fokus kepada kawasan luar bandar tetapi juga dalam bandar. Malah, kita juga akan mengadakan sesi perbincangan dengan agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Malam Mesra Bersama Media di sini malam semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Soiman Jahid. 

Terdahulu, lebih 30 pengamal media daripada pelbagai agensi hadir memeriahkan majlis selain turut mengadakan tayangan perlawanan separuh akhir Piala AFF antara Malaysia dan Thailand yang menyaksikan skuad Harimau Malaya layak ke perlawanan akhir.

Dalam perkembangan lain, Azmi menjelaskan, tahap kesedaran masyarakat dalam membuat panggilan sekiranya berlaku kecemasan masih lagi tidak memuaskan.

“Kita tidak menafikan terdapat panggilan yang lewat diterima daripada pemanggil yang kebanyakan dilakukan oleh orang awam kerana ketika kejadian mangsa dalam keadaan panik untuk menyelamatkan diri.

“Masyarakat perlu bertindak cepat untuk segera menghubungi bomba jika berlaku sebarang insiden, kita tidak mahu masyarakat hanya menunggu dan melihat sahaja,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE