Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata, langkah itu akan diambil sebelum pembentangan dibuat di peringkat Kabinet oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berhubung keputusan pembayaran elaun tersebut.

"Melihat kepada status kewangan negara, tuntutan ini mungkin tidak begitu baik masanya. Namun secara asasnya, elaun ini merupakan hak yang sepatutnya sudah dituntut sejak sekian lama kerana persekitaran kerja jabatan ini setanding dengan cabaran dihadapi agensi utama lain seperti polis, tentera serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Kami pasti tuntutan ini adalah berasas dan berpatutan dengan tugas dijalankan para pegawai dan kakitangan. Oleh itu JBPM amat berharap supaya pembayaran elaun ini akan diluluskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat JBPM negeri yang baharu di Jalan Suka Menanti, dekat sini, hari ini.

Sekiranya diluluskan, elaun sebanyak RM200 sebulan itu akan memberi manfaat kepda 14,761 pegawai dan kakitangan melibatkan peruntukan berjumlah kira-kira RM35.4 juta setahun.

Baru-baru ini Zuraida dilaporkan berkata, Kertas Kabinet bagi elaun berkenaan yang sudah dituntut JBPM sejak 2015 telah sedia untuk dibentang dan diluluskan oleh Kabinet.

Namun beliau dalam masa sama mengingatkan bahawa kerajaan Pusat dalam keadaan berhati-hati dan berjimat dalam perbelanjaan bagi menstabilkan keadaan ekonomi negara.

Sementara itu katanya, pihaknya sedang berusaha untuk menghidupkan semula jalinan kerjasama dengan sebuah universiti di selatan tanah air bagi mengkaji mengenai penggunaan elemen robotik dalam usaha memadam kebakaran dan menyelamat.

"Penggunaan teknologi ini jika di luar negara sudah menjadi sesuatu yang biasa dan harganya juga kian murah berbanding dulu. Elemen robotik ini penting dan amat berguna dalam situasi yang melangkaui keupayaan manusia biasa seperti menjalankan operasi dalam asap tebal.

"Dulu memang kita ada kolaborasi dengan sebuah universiti tempatan untuk mengkaji perkara ini namun diberhentikan atas sebab-sebab tertentu. Namun kini sudah tiba masanya untuk JBPM menjalin semula kerjasama dalam bidang ini ketika beberapa universiti dilihat memiliki fakulti yang sesuai selain memang menjalankan kajian dalam aspek berkaitan," katanya. - UTUSAN ONLINE