ABDUL AZIZ JUSOH
ABDUL AZIZ JUSOH

Pengarahnya, Abdul Aziz Jusoh berkata, sebagai agensi penguatkuasaan agama, pihaknya memberi perhatian serius terhadap permasalahan dan sentiasa komited dalam memastikan segala kegiatan tidak bermoral dapat dibendung lebih awal.

“Selain menerima aduan daripada orang ramai dan melakukan siasatan, pihak Jawi melalui Bahagian Penguatkuasaan turut mengadakan operasi mingguan dalam membanteras aktiviti ini.

“Operasi tersebut akan dijalankan di premis-premis jualan nombor ekor di sekitar ibu negara. Sekiranya individu yang beragama Islam didapati berjudi atau berada di premis judi, mereka akan ditahan dan diambil keterangan seterusnya akan didakwa mengikut Seksyen 18, Akta 559, Kesalahan Jenayah Syariah, Wilayah Persekutuan 1997,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia Sabtu.

Jelasnya, kegiatan itu adalah haram dan aktiviti melibatkan segala bentuk perjudian sama ada loteri, tikam, mesin slot atau jackpot adalah satu perjudian yang diharamkan dan berdosa besar di sisi Islam.

“Oleh itu, pencegahan peringkat awal bermula dari rumah dan sekolah. Ibu bapa perlu memberi kefahaman mendalam terhadap pendidikan akhlak dan agama kepada anak-anak supaya mereka memahami perbuatan itu salah di sisi perundangan Islam serta memberi kesan buruk terhadap masyarakat,” katanya.

Abdul Aziz juga tidak menafikan bahawa mereka yang cetek agama sering terpengaruh dengan perjudian itu.

Katanya, walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan jati diri individu merupakan faktor terpenting dalam membasmi kegiatan tersebut dan secara tidak langsung dapat mencegah mereka melakukan kemungkaran.

“Beberapa langkah telah diambil untuk mengatasi penyakit sosial ini antaranya menjalankan operasi tangkapan secara adil berdasarkan pemantauan dan aduan orang ramai, aktiviti pencegahan awal melalui kempen serta penyebaran maklumat berkaitan judi di media massa selain memberi kaunseling bagi mereka yang didakwa di mahkamah,” ujarnya.