Namun, sudah pasti perkahwinan seperti ini memerlukan pengurusan yang teratur dan belanja yang tinggi sehingga boleh mencecah ratusan ribu ringgit.

Bagi merealisasikan impian bakal pengantin itu, Hikayat Events Sdn. Bhd. (Hika­yat Events) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Putrajaya menawarkan peluang kepada 100 pasangan terawal melangsungkan majlis perkahwinan da­lam suasana mewah di hotel bertaraf empat bintang, Hotel The Everly di sini dengan harga istimewa.

Menurut Pengarah Urusan Hikayat Events, Ahmad Mustaqim Abdul Rahman, program yang dikenali sebagai MyWalima itu berkonsepkan majlis kahwin beramai-ramai dengan memberi peluang kepada pasangan untuk melangsungkan majlis perkahwinan sempurna dan mewah tanpa perlu risau mengenai bajet yang terlalu besar.

“Program yang julung-julung kali diadakan ini bakal memberi peluang kepada masyarakat umum menikmati majlis perkahwinan mewah dengan menitikberatkan kesempurnaan daripada segi pengurusan, penganjuran acara, tempat dan makanan, dekorasi dan suasana majlis, persiapan pakaian dan dandanan pengantin tanpa perlu mengeluarkan bajet yang tinggi.

“Untuk program ini, kita menawarkan pakej harga istimewa iaitu RM19,900 sahaja dan untuk tawaran terhad, rebat istimewa sebanyak RM5,900 akan diberikan, ini menjadikan harga tawaran penyertaan hanyalah sebanyak RM14,900,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Jawi Putrajaya, Hazarudin Baharudin.

Menurut Ahmad Mustaqim, program tersebut hanya terhad kepada 100 pasangan awal dan majlis tersebut akan berlangsung bermula November ini sehingga Mac tahun hadapan.

Katanya, setiap majlis akan meraikan 20 pasangan pengantin dengan kehadiran 800 tetamu yang mana setiap pasangan boleh menjemput maksimum 40 orang tetamu dan ahli keluarga masing-masing.

“Pengurusan majlis ini bermula dari awal lagi, setiap pasangan akan dibantu bermula daripada kursus praperkahwinan, pengurusan permohonan akad nikah, penyediaan kad jemputan eksklusif, pengurusan majlis akad nikah, persiapan majlis resepsi seperti busana terkini rekaan pereka pakaian terkenal serta solekan daripada jurumekap artis profesional.

“Selain itu, pasangan terbabit juga bakal menikmati suasana maj­lis perkahwinan yang elegan dan teratur di dewan eksklusif yang dihias indah dengan dekorasi pelamin dan dihias dengan bunga segar serta pencahayaan yang sesuai dengan majlis,” katanya.

Ahmad Mustaqim berkata, antara vendor yang akan terlibat bagi menjayakan program tersebut adalah syarikat Entry Production, Dwen Raha Kuala Lumpur, Hikayat Cinta, Hotel The Everly, Laskar Sonas Production, Ramza Studio by Bee Ramza dan Sweet Pictures Sdn. Bhd.

Sementara itu, katanya, pasangan yang berminat untuk menyertai program tersebut boleh menghubungi pihak urus setia di talian 010-4097100 atau melayari laman web www.mywalima.my.