Jawatankuasa itu akan membuat kajian secara komprehensif serta mengambil pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan termasuk berkaitan psikologi kanak-kanak bagi mencadangkan garis panduan yang akan diguna pakai kelak.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, empat garis panduan itu melibatkan penerimaan laporan dan siasatan kes, perbicaraan, pengendalian saksi dan mangsa kanak-kanak serta perlindungan dan sokongan kepada mangsa jenayah seksual.

“Garis panduan khas ini bagi memastikan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak diselesaikan dengan lebih teratur dan efisien,’’ ujarnya ketika merasmikan pelancaran jawatankuasa berkenaan.

Pembentukan jawatankuasa itu merupakan langkah susulan selepas penubuhan Mahkamah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak pada 22 Jun lalu. - UTUSAN ONLINE