Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut merupakan susulan daripada permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya satu jawatankuasa domestic enquiry diwujudkan untuk mengambil tindakan ke atas cadangan dan syor yang dibuat dalam laporan audit itu.

Menurut beliau, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Felda yang juga Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Kushairi Din.

"Jawatankuasa ini juga akan dibantu firma undang-undang yang dilantik oleh Felda bagi menjalankan semakan perundangan dengan kami menetapkan tempoh siasatan selama tiga bulan bermula malam ini.

"Siasatan dan semakan perundangan ke atas Ahli Lembaga Pengarah Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) dan Synergy Promenade Sdn. Bhd. (SPSB) berdasarkan rekod dan dokumen semasa transaksi berlaku pada tahun 2014," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda, di sini malam ini. - UTUSAN ONLINE