Menurut Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, jawatankuasa tersebut yang ditubuhkan pada 8 Oktober lalu diberi masa selama sebulan bagi mengemukakan penemuan berkaitan.

"Bagaimanapun, insyaAllah kita jangka akan dapat mempercepatkan lagi siasatan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan dalam menyalurkan maklumat diperlukan seperti pelan pembinaan terusan tempat kejadian dan lain-lain lagi.

"Selain itu, diperingkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga akan menubuhkan jawatankuasa bebas terdiri daripada pakar seperti selaman, ahli akademik berkaitan dan pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutupan Latih Amal Ops MEX Kenyalang Ke-20 JBPM di Zon Bebas Perindustrian Samajaya, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Bomba Sarawak, Khirudin Drahman, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Datuk Muhammed Hasbullah Ali dan Pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Farhan Sufyan Borhan.

Terdahulu, sebuah pesawat kargo dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kuching mengalami kemalangan udara menyebabkan ianya terhempas di kawasan perindustrian Sama Jaya.

Insiden itu juga menyebabkan kebakaran dan runtuhan bangunan, kebocoran bahan kimia dan kemalangan kenderaan yang dikhuatiri melibatkan ramai mangsa.

Seramai 471 peserta terdiri daripada 18 buah agensi terlibat dalam enam senario dirancang bagi menguji kesiapsiagaan pelbagai agensi menghadapi insiden itu secara berkesan. - UTUSAN ONLINE