Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah tersebut bakal menyelesaikan kemelut isu tersebut selain melaksanakan dan menunaikan semua janji untuk rakyat Sabah.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, usaha itu juga bagi mengangkat martabat rakyat di negeri ini yang merupakan rakyat Malaysia berwibawa dan berintegriti.

"Baru-baru ini, jawatankuasa khas di peringkat Kabinet telah diwujudkan atas arahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk meneliti MA63 supaya apa yang dijanjikan mesti ditunaikan.

"Ini kerana, janji itu adalah hak rakyat Sabah yang patut diberikan kerajaan berdasarkan perjanjian yang dibuat sebelum ini," katanya ketika berucap dalam majlis Makan Malam Muafakat sempena Hari Malaysia, di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi PKR Sabah, Christina Liew.

Sementara itu, Azmin menggesa semua pihak untuk mengambil tindakan lebih proaktif dalam menjamin keselamatan di pantai timur Sabah.

"Keselamatan negeri dan rakyat Sabah mesti diberi keutamaan, kita tidak mahu berlaku pengulangan kes-kes penculikan kerana akan menjejaskan industri pelancongan, menjejaskan keselamatan rakyat serta pertumbuhan ekonomi Sabah.

"Kami akan berbincang dengan pihak berkaitan termasuk Kementerian Dalam Negeri supaya disegerakan tindakan yang lebih proaktif dalam menjamin keselamatan khususnya diperairan negeri ini," katanya. - UTUSAN ONLINE