Jasad Tai, yang merupakan Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, dan Lim dibawa melalui penerbangan Garuda GA816 dari Jakarta yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira 5.19 petang sebelum dibawa ke Kompleks Kargo KLIA pada kira-kira 6 petang.

Suasana pilu menyelubungi Kompleks Kargo KLIA dengan hadirin termasuk pihak pengurusan Sin Chew Daily dan ahli keluarga dilihat menitiskan air mata apabila sami melakukan upacara keagamaan.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir di kompleks kargo itu ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

Kenderaan yang membawa kedua-dua jasad meninggalkan Kompleks Kargo KLIA itu pada kira-kira 6.45 petang.

Difahamkan, jasad mendiang Tai akan dibawa ke Taman Peringatan Nirvana Sungai Besi, Kuala Lumpur sementara jenazah Lim dibawa ke Jementah, Segamat, Johor untuk disemadikan.

Loke yang ditemui pemberita merakamkan penghargaan kepada semua pihak khususnya pegawai Wisma Putra yang membantu membawa jenazah kembali ke tanah air. - BERNAMA