Menteri Undang-undang & Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Aidi Moktar berkata, usaha dan kesungguhan yang dilakukan YaPEIM menganjur program Kursus Latihan Tenaga Pengajar(ToT) Program Celik Quran Masyarakat (CQ-MAS) 2019 di seluruh Sabah amatlah dihargai serta mengalu-alukan setiap usaha yang murni ini.

Katanya, usaha Yapeim kembangkan kursus pengajian Al-Quran mengguna modul pengajaran dan pembelajaran (P&P), ABAHATA itu sangat efektif dan berkesan sehinggakan setiap peserta mampu membaca kitab suci itu hanya setelah mengikuti sesi pembelajaran secara intensif selama 30 jam.

“Program TOT CQ-MAS menggunakan model ABAHATA ini amat berkesan bagi menarik minat anak muda untuk mendekati menjadi celik Al-Quran.

“Saya difahamkan, YaPEIM akan terus menjelajah ke semua 25 buah daerah seluruh negeri Sabah untuk bersama mengembangkan lagi kaedah didikan ini. Selaku menteri bertanggungjawab saya sangat mengalu-alukan usaha ini ke arah melahirkan generasi celik Al-Quran,” katanya dalam sidang media perasmian penutup program TOT CQ-MAS di tiga lokasi Papar, Beaufort dan Membakut.

Program berlangsung serentak di tiga lokasi berkenaan mulai 25 hingga 27 Januari, telah disertai oleh 120 orang guru KAFA Jakim dan Guru Sekolah Agama Negeri (SAN). Seorang tenaga pengajar disasarkan melatih 30 orang pelajar di kawasan masing-masing di mana, keseluruhan, 3,600 orang celik Al-Quran mampu dilahirkan di dalam tempoh masa yang terdekat.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif YaPEIM, Dato’ Abibullah Samsudin menzahirkn komitmen menjayakan program yang berbentuk dakwah ini dengan sebaik mungkin demi kelangsungan modal insan negara di masa depan.

Beliau berkata, berdasarkan kepada perancangan, program TOT CQ-MAS ini akan dikembangkan ke semua 25 daerah di Sabah dilaksanakan secara berperingkat sepanjang tahun ini.

“Program ini telah masuk tahun kedua edisi penganjurannya dengan 4 lokasi terlibat termasuklah Semporna, Papar, Membakut dan Beaufort, yang mana kos perbelanjaanya setakat ini hamper RM310,000 telah digunakn. Manakala secara keseluruhan dianggarkan RM5 juta diperuntukkan bagi program ini di seluruh negeri Sabah ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE