Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Muttalib berkata, tiada diskriminasi ber­hubung pemberian gaji minimum di negara ini termasuk terhadap golongan berkenaan.

“Sepatutnya pekerja OKU wajar diberikan lebih perhatian oleh majikan, bukan sahaja daripada segi gaji minimum, malah faedah serta ganjaran lain sebagai go­longan istimewa.

“Di pihak kerajaan, kita tidak pernah mengabaikan golongan ini dan kebajikan mereka sentiasa terbela termasuk pelbagai usaha bagi melahirkan pekerja mahir dalam kalangan OKU,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis Penyampaian Sum­bangan Kepada OKU, Penyerahan Kunci Gerai Pem­bangunan Luar Bandar (PLB) dan Penutupan Pro­gram Yayasan Alam Sekitar Sultan Ahmad Shah (SASET) di Kompleks Penyayang Cacat Penglihatan, Kampung Bintang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Maran, Datuk Syed Ahmad Fuad Syed Taha.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2016 baru-baru ini mengumumkan mulai 1 Julai 2016, gaji minimum dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,000 bagi Semenanjung dan daripada RM800 kepada RM920 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kadar baharu itu melibatkan semua sektor swasta kecuali per­khidmatan domestik atau pem­bantu rumah.

Ismail berkata, di samping melahirkan pekerja mahir dalam kalangan OKU, kerajaan juga melaksanakan pelbagai program bertujuan membantu golongan istimewa itu menceburi bidang keusahawanan.

"Untuk program yang kita lakukan, kita mendapat sokongan da­ripada pertubuhan bukan kera­jaan (NGO) dan jabatan di bawah kementerian, seperti program hari ini kita mendapat kerjasama SASET dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kementerian Sumber Manusia.

“Kita juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wani­ta, Keluarga dan Masyarakat yang bertanggungjawab mendaftar OKU dan kita anggarkan lebih 100,000 OKU berdaftar di negara ini," katanya.