Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, adalah tidak wajar kesalahan dituding terus kepada pemandu seperti kereta dan lori jika kejadian luar jangka itu berlaku sehingga mengakibatkan mangsa maut.

“Kebelakangan ini berbasikal untuk kesihatan semakin mendapat sambutan, termasuk yang menggunakan jalan kampung dan lebuh raya. Masalahnya, masih ramai menggunakan basikal yang tidak dilengkapi lampu depan dan belakang. Selain itu, mereka juga tidak menggunakan alat atau pakaian pemantul cahaya sewaktu malam di jalan raya.

“Pada masa yang sama, ramai juga penunggang terlibat tidak memakai topi keledar untuk keselamatan diri,” ujarnya selepas menyambut konvoi basikal Kembara Kasih Bank Rakyat 2017 di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini hari ini.

Pada program itu, 63 peserta disambut meriah setelah menamatkan kayuhan 515 kilometer yang bermula sejak empat hari lalu bagi laluan dari Kangar (Perlis)-Seberang Jaya (Pulau Pinang)-Manjung (Perak)-Kuala Selangor dan Shah Alam (Selangor ) dan berakhir di sini.

Menerusi program itu, peserta kayuhan menyertai beberapa projek amal, termasuk menyerahkan basikal kepada sekolah atau persatuan autisme, meraikan bayi yang lahir 28 September 2017, menyerahlan hamper dan baucar Akauan Simpanan-i Nuri kepada kanak-kanak wad pediatrik di Hospital Sri Manjung, kelmarin.

Kembara Kasih Bank Rakyat 2017 tadi turut disambut oleh pemenang pingat emas lumba basikal acara Scratch Lelaki dan Kejar Mengejar Berpasukan Lelaki Sukan SEA 2017, Irwandie Lakasek serta kanak-kanak dari Institut Masalah Pembelajaran dan Autism Malaysia (Impian).

Di akhir majlis, Naib Presiden Kanan, Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat menyerahkan tiga basikal kepada Pengerusi Impian, Datin Dr. K. Mangalaveni bagi manfaat warga Impian. - UTUSAN ONLINE