Yang Dipertua Yadim, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, agama Islam menjadi agama yang menekankan pentingnya penghayatan dan kesedaran umatnya berbanding memaksa menjalankan ritual-ritual keagamaan tanpa disertai dengan pemahaman yang secukupnya terhadap pesanan kandungan al-Quran dan sunnah Nabi.

“Yadim menggesa umat Islam supaya tidak terperangkap dengan retorik dan slogan indah yang tidak berpijak di alam nyata dan pada masa yang sama kita mengalami kekosongan dalam memahami isi kandungan al-Quran dan Sunnah itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Nik Omar, ada segelintir daripada kalangan umat Islam sibuk dengan ritual-ritual keagamaan seperti tidak pernah terlepas sembahyang lima waktu, rajin puasa sunat Isnin dan Khamis serta menyokong kehidupan Islamik.

“Tetapi pada masa yang sama, mereka melanggar dan menyeleweng daripada prinsip dan kandungan al-Quran seperti taksub kepada kumpulan dan pemimpin tertentu, suka mengkafir dan menyesatkan orang Islam lain, tidak menghargai perbezaan pendapat, bertindak zalim, memfitnah, pecah amanah, rasuah dan sikap negatif yang lain,” katanya.

Bersempena Nuzul al-Quran ini, jelasnya, Yadim mengharapkan slogan kembali kepada al-Quran dan sunnah dijadikan sebagai hujah untuk mengukuhkan perpaduan seluruh umat Islam tanpa mengira pegangan mazhab, aliran keagamaan dan pegangan politik.

Beliau berkata, umat Islam harus berhati-hati agar mereka tidak menjadi ejen kepada perpecahan umat.

“Sesungguhnya al-Quran menyediakan wahana dan tafsiran yang begitu luas yang memungkinkan berlakunya khilafiah. Ramadan mempunyai nilai sejarah yang begitu besar dalam kehidupan umat Islam kerana telah diturunkan al-Quran sebagai panduan sepanjang hayat.

“Kita mengingati sejarah turunnya al-Quran sebagai pedoman yang memandu seluruh kaedah dan amalan hidup kita dalam konteks mengukuhkan ‘proses perhambaan kepada Allah SWT’, tatacara menyusun kehidupan lebih bermakna dengan orang lain atau bermasyarakat dan seterusnya perjalanan menuju kehidupan yang lebih kekal,” katanya.

Nik Omar berkata, hikmah di sebalik peringatan Nuzul al-Quran antara lain, membersihkan akal dan menyucikan jiwa daripada segala bentuk syirik serta memantapkan keyakinan tentang keesaan yang sempurna bagi Tuhan sekalian alam, keyakinan yang tidak semata-mata sebagai suatu konsep teologi tetapi falsafah hidup dan kehidupan umat manusia.

“Mengajarkan kemanusiaan yang adil dan berakhlak karimah yakni umat manusia merupakan suatu umat yang sepatutnya dapat bekerjasama dalam pengabdian kepada Allah dan pelaksanaan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi.

“Menciptakan persatuan dan kesatuan, bukan saja antara suku atau bangsa, tetapi kesatuan alam semesta, kesatuan kehidupan dunia dan akhirat, kesatuan ilmu, iman, dan hujah, kesatuan kebenaran, kesatuan keperibadian manusia, kesatuan kemerdekaan, kesatuan sosial, politik dan ekonomi, dan kesemuanya berada di bawah satu keesaan, iaitu keesaan Allah SWT.

“Mengajak manusia berfikir dan bekerjasama dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat dan bernegara dengan cara bermusyawarah dan mengelakkan perpecahan. Membanteras kemiskinan tegar sama ada kemiskinan secara keagamaan mahupun secara ekonomi, kebodohan, penyakit, dan penderitaan hidup,” katanya. - UTUSAN ONLINE