Pakar Kanak-kanak Hospital Pakar KPJ Kajang, Dr. Nor Mahani Harun berkata, golongan antivaksin juga se­ring menggunakan kes terpencil kesan vaksin untuk menakut-nakutkan orang ramai walhal tidak mengambil vaksin mendatangkan kesan lebih buruk.

DR. NOR MAHANI
DR. NOR MAHANI

“Ini tidak adil kepada kanak-kanak yang tidak tahu apa-apa dan terdedah kepada bahaya oleh kerana sikap segelin­tir ibu bapa.

“Hakikatnya, kanak-kanak yang tidak diberikan vaksin bukan sahaja mempunyai risiko tinggi terdedah kepada penya­kit malah turut membahayakan orang di sekeliling mereka.

“Dan, adalah berdosa sebagai umat Islam menghasut orang lain untuk sama-sama tidak mengambil vaksin padahal sudah jelas mengikut fatwa dan Islam, mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatan­kuasa Teknikal Program Immunise4Life (IFL), Datuk Prof. Dr. Zulkifli Ismail berkata, ibu bapa yang keliru atau enggan memberi vaksin kepada anak masing-masing diminta untuk mendapatkan pendapat daripada pakar yang bertauliah.

“Kita susah mahu meyakinkan golo­ngan antivaksin ini. Saya ingin juga tanya jika mereka sendiri telah diberi vaksin. Jika mereka telah diberi dan sekarang ini dah besar panjang dan sihat, kenapa mereka nak menghalang vaksin untuk anak mereka?

DR. ZULKIFLI ISMAIL
DR. ZULKIFLI ISMAIL

“Nasihat saya kepada ibu bapa yang keliru atau enggan memberi vaksin ialah dapatkan pendapat daripada pakar bertauliah. Mereka boleh juga tengok maklumat dalam www.ifl.my, laman sesawang program Immunise4Life,” katanya.