Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berkata, pelbagai maklumat palsu dan berbentuk hasutan yang mudah diperoleh sehingga boleh memberikan gambaran buruk kepada kerajaan sedia ada.

“Percayalah pada kerajaan sekarang, kerana walau apa pun yang diperkatakan oleh pihak luar, kami selaku pemimpin sentiasa komited melakukan kerja. Malah, kami sentiasa turun padang berjumpa rakyat kerana itu adalah tanggungjawab kita dan bukannya ‘syok sendiri’.

“Buktinya, kita sudah bangunkan Lebuh Raya Pan Borneo yang akan memberi manfaat kepada penduduk setempat. Malah, Yayasan Sabah sedang membangunkan Sabah International Convention Centre (SICC) yang dapat meningkatkan sektor pelancongan negeri,” katanya semasa berucap dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Mahasiswa Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Sapawi Ahmad serta seramai 1,200 mahasiswa Sabah dari pelbagai Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Pada majlis yang sama juga, Musa menyampaikan sumbangan duit raya berjumlah RM200 kepada mahasiswa yang hadir.

Terdahulu, Sapawi berkata, sejumlah RM622.8 juta dibelanjakan kepada kira-kira 97,000 pelajar Sabah di seluruh IPT.

“Ini adalah peranan kita dalam menyampaikan bantuan dermasiswa dan biasiswa dalam.menjana pembangunan modal insan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE