Istimewa kerana Malaysia masih dalam suasana sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Lebih bermakna kerana lawatan Perdana Menteri kali ini berlatar­-belakangkan hubungan diplomatik yang telah terbina dengan AS sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Yang menghangatkan lagi suasana makan malam itu ialah apabila Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique mengambil inisiatif menerbangkan 25 kotak durian musang king khas untuk tetamu. 

Dalam tempoh 60 tahun hubungan diplomatik itu, Malaysia walaupun negara kecil adalah rakan AS yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

Malaysia sentiasa diberi ruang untuk mengukuhkan hubungan se­tiap kali berlaku perubahan ke­pemimpinan di AS.

Mengambil semangat itu, Perdana Menteri dalam ucapannya berharap pertemuan beliau dengan Presiden Donald Trump di White House pada keesokan harinya dapat menunjukkan Malaysia sebagai sebuah negara penting kepada AS.

“Kita datang bukan untuk meminta wang tetapi datang sebagai sebuah negara yang sedang berkembang pesat dan bakal berada dalam kalangan 20 negara maju. Kita datang untuk beritahu bahawa Malaysia boleh dijadikan rakan untuk memerangi keganasan dengan kita mengamalkan Islam sebenar,” katanya 

Perdana Menteri berharap hubungan baik dengan AS terus diperku­kuh­kan sebagaimana hubungan dengan rakan di Asia termasuk China, Jepun dan Asia Barat. 

“Malaysia negara kecil berban­ding AS yang berkeluasan 30 kali lebih besar tetapi kita menjadi negara rakan dagang AS ke-18 dari segi eksport, selain pelabur yang signifikan di AS,” katanya sambil berharap dapat meneroka peluang pelaburan baharu semasa bertemu Trump.

Najib berkata, pertumbuhan pe­sat yang berlaku di Malaysia termasuk pembinaan Transit Aliran Massa (MRT), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, Lebuh Raya Pan Borneo dan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRR) tidak menunjukkan Malaysia sebagai negara gagal sebagaimana didakwa pembangkang.

Menurutnya, semua yang dilakukan beliau adalah untuk memastikan Malaysia berada dalam landasan yang betul.

“Kita buat ini untuk generasi muda sekarang. Kita nak tinggalkan negara yang berjaya,” jelasnya.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.