Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, golongan LGBT diletakkan di bawah kategori penerima asnaf al-Riqab atau mereka yang dibelenggu.

Kata beliau, golongan berkenaan bermasalah tetapi tidak boleh keluar daripada masalah berkenaan dan ada beberapa negeri seperti Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu mengambil kira kategori al-Riqab berkenaan.

“Golongan LGBT termasuk dalam golongan ini dan perlu dibantu untuk keluar daripada apa yang membelenggu mereka.

“Dalam kita berdakwah kepada mereka tidak boleh hanya setakat berceramah tetapi memberi jalan untuk mereka keluar. Ini yang dimaksudkan mereka layak terima zakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Kompleks Penempatan Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) di sini hari ini.

Semalam, Jabatan Mufti Se­langor dilapor menyenaraikan 10 golo­ngan yang terbelenggu dengan gaya hidup songsang layak menerima zakat asnaf Al-Riqab seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 14 Mei 2012.

Senarai 10 golongan tersebut terdiri daripada pelacur, lesbian, mak nyah, gay, homoseksual, gigolo, biseksual, pengkid, tomboy dan bersekedudukan dengan orang bukan lslam. - UTUSAN ONLINE