Ini kerana ia melibatkan pelbagai implikasi undang-undang termasuk risiko pindaan Perlembagaan Persekutuan yang mengancam kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kerajaan sepatutnya me­lakukan rundingan awam terlebih dahulu supaya rakyat memahami dan boleh menyatakan pendirian mereka terhadap tindakan tersebut.

Malah, beliau turut mempersoalkan peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy yang mengumumkan hasrat kerajaan tersebut sedangkan ia sepatutnya menjadi tanggungjawab Kementerian Luar atau Kementerian Dalam Negeri.

“Saya juga fikir, kenapa pengumuman dibuat Waytha Moorthy, (sedang­kan) beliau menteri (yang bertanggungjawab atas hal ehwal) perpaduan. Kenapa bukan Menteri Luar yang bertanggungjawab meratifikasi (perjanjian antarabangsa) ataupun Menteri Dalam Negeri yang menjaga isu-isu kedaulatan negara.

“Saya tidak tahu sama ada Kementerian Dalam Negeri atau Jabatan Peguam Negara sudah dirujuk atau tidak. Sebab itu saya kata kena ada rundingan, tapi saya tidak pernah dengar ada runding­an dibuat oleh kerajaan. Tiba-tiba ada pengumuman akan diratifikasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas pendapat beberapa pihak yang mendakwa kedudukan istimewa orang Melayu, agama Islam dan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak akan terjejas kerana ia dijamin Perlembagaan Persekutuan, Zainul Rijal berkata, tindakan meratifikasi ICERD akan tetap mendedahkan negara kepada tekanan antarabangsa supaya undang-undang yang tidak selari dengan konvensyen itu dipinda.

Lebih teruk lagi, menurut beliau, tindakan meratifikasi tanpa meminda undang-undang berkaitan hanya akan memalukan negara pada mata dunia kera­na kerajaan dilihat bersetuju dengan konvensyen itu tetapi tidak mengambil apa-apa langkah ke arah persetujuan itu.

“Jadi pada pendapat saya, kerajaan tidak perlu terburu-buru meratifikasi konvensyen itu kerana ia akan menjejaskan kedaulatan dan juga jati diri Malaysia sendiri,” katanya.