Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berkata, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Pasukan Petugas Khas serta pada masyarakat umum sama ada kejadian tersebut berlaku disebabkan unsur-unsur jenayah atau berpunca daripada kesilapan teknikal.

"Saya telah bincang dengan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh untuk menyiasat mengenai sebarang kemungkinan berlakunya kebakaran namun kita jangan buat spekulasi mengenainya," katanya dalam sidang akhbar selepas Sesi Dialog Perdana Transformasi Nasional (TN50) Kluster Keselamatan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat pertama Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kebakaran di pusat tersebut yang akan diadakan pada Selasa ini akan meneliti semua syor yang telah dikemukakan Suruhanjaya Diraja (RCI) Mengenai Keselamatan Sekolah Agama selepas tragedi Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya dekat Yan, Kedah, pada 1989.

"Syor RCI ini saya dimaklumkan ia tidak diguna pakai sebagai garis panduan untuk pusat tahfiz dan sekolah agama rakyat di negara ini.

"Pasukan Petugas Khas ini akan meneliti semua syor dan cadangan yang telah dikemukakan RCI tersebut untuk dijadikan panduan di sekolah agama dan pusat tahfiz demi keselamatan anak-anak yang bersekolah di sana," ujarnya.- UTUSAN ONLINE