Pengerusi Badan Perhubu­ngan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sesiapapun tidak boleh memberi ulasan, atau membuat sebarang spekulasi mengenai keputusan Sultan Muhammad V menarik balik gelaran yang dianugerahkan itu.

"Tiada apa yang ingin saya ulas kerana itu hak mutlak Tuanku. Jadi, sesiapa pun tidak patut membuat spekulasi apa sebabnya kerana ini adalah hak mutlak Tuanku," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Op Selamat 12/2018 Sempena Perayaan Tahun Baharu Cina di Kompleks Niaga Tok Wan Mat, Bukit Bunga di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Sultan Muhammad V menarik balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkuat kuasa 6 Februari lalu.

Difahamkan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menerima surat penarikan balik Darjah Kerabat (DK) Al-Yunusi Kelantan itu di kediamannya di Seri Kembangan.

Selain Dr. Mahathir, Sultan Muhammad V turut menarik balik darjah kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) (Al-Ismaili II) daripada dua pe­mimpin PAN iaitu Naib Presiden PAN, Husam Musa dan Pengerusi PAN Kelantan, Wan Abd. Rahim Wan Abdullah.