Najib
Najib

Perdana Menteri mengakui me­mang ada kelemahan di antara parti kerajaan dan pembangkang sehingga mewujudkan gerakan undi rosak itu namun menegaskan adalah lebih baik rakyat memilih berdasarkan pembangunan dihasilkan oleh kedua-dua pihak berkenaan.

“Jika dibandingkan, kerajaan Barisan Nasional (BN) konsisten dalam membawa pembangunan di negara ini sekali gus menjamin masa depan setiap rakyat Malaysia.

“Tidak perlu rosakkan undi anda, pilihan terbaik untuk rak­yat adalah jelas sekali,” katanya menerusi entri terbaharu di laman blog https://www.najibrazak.com.my hari ini.

Menjelang PRU-14, media sosial menjadi medium gerakan tertentu yang cuba mempromosikan usaha merosakkan undi menerusi mesej #UndiRosak atau #Spoiltvote dan #ProtesPRU.

Mengulas lanjut, Perdana Men­teri menjelaskan, banyak pemba­ngunan infrastruktur negara se­perti transit aliran massa (MRT), Jambatan Pulau Pinang 2, Tun Razak Exchange 106, KL118 Tower (Warisan Merdeka), Pusat Transformasi Nasional (UTC), Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Kota Iskandar, Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) telah dan sedang dijalankan oleh kerajaan.

Katanya, semua projek itu te­lah menambah peluang pekerjaan dan juga perniagaan.

“Malah, program-program tambah kuasa beli yang telah kami jalankan seperti dana keusahawanan, subsidi perubatan, pendidikan, skim-skim latihan seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), rumah mampu milik seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1­MA), menjadi bukti yang semua ini adalah demi pembangunan negara dan meningkatkan kualiti hidup rakyat,” jelas beliau.

Berbeza dengan pembangkang, kata Perdana Menteri, ne­geri-negeri ditadbir mereka me­ngenakan cukai melambung tinggi sehingga 1,671 peratus di Pulau Pinang dan 300 peratus di Sela­ngor.