Presiden Perdasama, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, ahli-ahli Perdasama sebelum ini tidak pernah bertelingkah, bergaduh dan berpecah dalam sejarah penubuhan NGO tersebut.

“Saya bimbang kalau tidak dijaga, Perdasama yang sebegini elok akan bertelingkah. Perdasama tidak pernah bertelingkah, bergaduh dan berpecah.

“Kalau hendak ambil alih (jawatan dalam Perdasama), kena atur baik-baik dan berunding untuk pertukaran yang formal,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Perdasama Putrajaya Kedua di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Naib Pre­siden Perdasama, Datuk Sohaimi Shahadan; Yang Dipertua Perdasama Putrajaya, Datuk Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah Alhaj dan timbalannya, Datuk Nazifuddin Najib.

Dalam pada itu, Moehamad Izat berkata, perjuangan memar­ta­batkan ekonomi orang Melayu di negara ini perlu diteruskan oleh Perdasama dalam usaha me­lonjakkan kedudukan kaum ter­sebut.

“Saya berharap ahli-ahli akan dapat memajukan diri dalam dunia perniagaan selaras dengan misi dan visi Perdasama,” katanya.

Sementara itu, Tengku Hishammuddin Zaizi berkata, semua cawangan Perdasama perlu bergerak sederap dalam perjua­ngan mempertingkatkan ekonomi orang Melayu dan bumiputera.

“Jangan kita lupa asas pertubuhan Perdasama adalah untuk menubuhkan rangkaian efektif bagi pengedaran yang memper­tingkatkan bidang keusahawanan bumiputera,” katanya.