Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hal ini selari dengan dasar kerajaan yang mahu melaksanakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu pembangunan perlu dirasai semua tidak kira agama, budaya dan bangsa.

Sehubungan itu, kata Najib, seluruh rakyat mesti berasa bahawa mereka adalah sebahagian daripada negara ini.

“Kita memerlukan organisasi atau pertubuhan seperti Kumpulan CIMB yang melakukan sesuatu bagi membantu kita berhadapan dengan insiden-insiden seperti masyarakat yang berada dalam kesusahan. Dalam hal ini, kita perlu membantu mereka untuk berdikari.

“Saya percaya bahawa tidak ada sesiapa pun perlu terpinggir daripada masyarakat di negara ini,” katanya pada majlis Jom Bersama Datuk Seri Najib Tun Razak di Menara Bumiputera Commerce, Jalan Raja Laut di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut mengumumkan setiap kakitangan wanita Kumpulan CIMB yang mempunyai anak di bawah lima tahun dibenarkan bekerja dari rumah sehari dalam seminggu.

Pengumuman itu sejajar de­ngan Hari Wanita Sedunia yang disambut hari ini.

Kemudiannya, Perdana Menteri turut melancarkan Program Pembangunan Bakat Baharu Gimnastik CIMB dengan kerjasama Yayasan CIMB dan Persekutuan Gimnastik Malaysia.

Tambah Najib, beliau amat percaya pada pembangunan sama rata di mana pembangunan itu mesti dicapai dan dirasai setiap individu.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan menjalin bekerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan sektor swasta bagi menggalakkan lebih banyak sumber.

“Kamu (CIMB) telah melakukan banyak perkara dan sumba­ngan untuk sukan seperti berbasikal, golf dan gimnastik. Tahniah!

“CIMB melakukan lebih daripada sebuah bank, kamu telah menjana banyak, banyak, banyak wang. Jadi, saya sangat gembira mengenainya,” ujarnya.