IDRIS JUSOH

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, hal ini berikutan tidak semua universiti awam mempunyai keupayaan untuk bergantung kepada kewangan sendiri.

Malah, katanya, banyak universiti awam di negara ini masih baharu iaitu di bawah 20 tahun yang dianggap masih di peringkat bertatih.

‘‘Hampir separuh daripada kira-kira 20 universiti awam masih 70 peratus bergantung kepada kewangan kerajaan manakala separuh lagi masih bergantung sepenuhnya kepada dana kerajaan.

‘‘Saya harap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh menilai semula bajet pada tahun ini. Tidak perlu potong lagilah. Kita kena pastikan kejayaan pendidikan tinggi yang berterusan,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Kepemimpinan dan Governan Universiti Ketiga anjuran Universiti Malaya (UM) di Sunway Resorts and Spa Hotel, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah UM, Prof. Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid; Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Nordin dan Pemangku Naib Canselor UM, Prof. Dr. Awang Bulgiba Awang Mahmud.

Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri pada Oktober tahun lalu memperuntukkan sebanyak RM12.1 bilion untuk kementerian berbanding RM13.378 bilion pada Bajet 2016 dan RM15.785 bilion pada Bajet 2015.

Tambah Idris, beliau juga memohon kerajaan memberi lebih perhatian terhadap pembangunan universiti-universiti penyelidikan berikutan universiti-universiti terbabit membawa imej negara ke peringkat antarabangsa.

Katanya, universiti-universiti penyelidikan bukan sahaja bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, sebaliknya turut bekerjasama dengan universiti-universiti awam yang lain.