Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, isu-isu sensitif membabitkan agama, kaum, hak keistimewaan dan institusi diraja di negara ini mampu menyumbang kepada perpecahan serta merekrut anggota pengganas di negara ini.

Katanya, isu sensitif ter­utamanya membabitkan perkauman cuba dieksploitasi oleh kumpulan ekstremis dan pengganas.

“Sebab itu kita nak tegaskan, jangan ada sebarang pihak di negara ini cuba eksploitasi isu agama, perkauman, hak-hak istimewa dan institusi diraja. Perkara ini akan memberi kepentingan untuk mereka (pengganas) untuk cetuskan serangan.

“Ini kerana, hasil risikan dan maklumat suspek kumpulan militan Negara Islam (IS) yang kita tangkap sebelum ini, kita dapati ada cubaan untuk lancarkan serangan susulan isu-isu per­kaum­an dan agama yang diper­mainkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas memberi ceramah sempena Perhimpunan Perpaduan Demi Negara Rukun Tetangga dan Persatuan Penduduk di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai serangan tembakan rambang di dua buah masjid di Christ­church, New Zealand semalam, Ayob Khan memberitahu, PDRM akan memperketatkan lagi kawalan di tempat sensitif di negara ini agar tidak menjadi sasaran mana-mana kumpulan militan untuk melakukan serangan.

Jelasnya, pihak E8 telah mengingatkan kepada semua pihak Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) untuk melakukan kawalan berterusan di tempat-tempat ibadat yang berada di kawasan mereka.

“Tindakan pencegahan amat penting untuk mengelakkan insiden seperti serangan seperti di Christchurch, New Zealand berlaku di negara ini.

“Di sini kita ingin tekankan, tindakan tegas akan diambil sekiranya kita dapati terdapat elemen-elemen asing. Kita tak nak Malaysia dijadikan pangkalan. Sebagai contoh terbaik di Christchurch...rakyat asing datang ke New Zealand buat serangan,” ujarnya.