Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching menegaskan, universiti tempatan bukan sahaja melahirkan ramai graduan berkualiti tinggi yang mampu memberi keuntungan berlipat ganda, malah turut mempunyai tahap kemahiran yang bagus.

“Pemain industri wajar melihat perkara ini secara holistik, jangan hanya memikirkan tentang keuntungan atau kos semata-mata dengan mengambil pekerja asing yang lebih murah.

“Mereka (pemain industri) harus melihat daripada pelbagai segi termasuk karakter dan kemahiran, di samping membantu tenaga kerja tanah air kerana perkara ini juga boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jom Borak bersama ahli akademik, ‘Together Gather 2018’ anjuran Mah Sing Group di Galeri Jualan Southville City, Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Strategi dan Operasi Mah Sing Group, Jane Leong.

Dalam pada itu, Kain Ching berkata, lebih banyak pemain industri diajak untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan universiti dalam usaha menyediakan pelajar ke arah menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

Beliau berkata, kerjasama berterusan penting dalam meningkatkan kualiti pelajar dan melonjakkan negara ke tahap lebih baik.

“Kementerian, universiti dan pihak industri memainkan peranan yang sangat signifikan dalam perkembangan dan pembentukan setiap pelajar.

“Hal ini kerana kita perlu mengetahui apakah jalan terbaik atau kualiti bagaimana yang diinginkan industri supaya perkara ini dapat seiring dengan sistem pendidikan kita di universiti,” kata beliau.

Sementara itu, Leong berkata, Mah Sing sedang memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dalam usaha mencungkil bakat baharu untuk bekerja dengan syarikat pembinaan terkemuka berkenaan.

“Kami merasakan bakat-bakat baharu ini perlu dipupuk sewajarnya bagi menghadapi cabaran dunia pekerjaan sebenar dengan Mah Sing yang ketika ini sudahpun mempunyai program sendiri iaitu Program Pengurusan Bersekutu (MAP) bagi menarik graduan bekerja dengan kami.

“Mah Sing juga terbuka untuk mengadakan kerjasama lebih erat dengan Kementerian Pendidikan Tinggi pada masa hadapan selagi kami dapat menyediakan peluang kepada graduan tempatan,” katanya.

/habis