Abdul Hadi Awang Kechil

Bekas Ketua Pe­ngarah Jabatan La­tihan Khidmat Ne­gara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, walaupun kerajaan mengambil keputusan untuk menggantikan PLKN dengan program lain, matlamat utama­nya ke arah pemantapan jati diri, semangat patriotisme, perpaduan dan kesukarelaan perlu dikekalkan.

Katanya, pemindahan pengu­rusan ke Kementerian Belia dan Sukan juga dilihat bakal menghasilkan kesan positif bagi memastikan kesinambungan setiap program di bawah kementerian tersebut.

“Apa sahaja bentuk latihan kepada remaja perlu dikekalkan bagi memperkasa generasi muda negara, namun dalam masa yang sama, kerajaan tidak seharusnya meminggirkan empat objektif utama PLKN iaitu pemantapan jati diri, semangat patriotik, perpaduan dan kesukarelaan.

“Selain itu, saya juga berharap kerajaan mengekalkan tenaga jurulatih sedia ada kerana selepas 14 tahun PLKN diwujudkan, ternyata setiap jurulatih sudah mempunyai kepakaran sendiri, lebih mudah dan menjimatkan kos sekiranya khidmat jurulatih sedia ada diteruskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, kerajaan telah memansuhkan PLKN dan Biro Tata Negara (BTN) dengan serta-merta.

Kedua-dua program tersebut bakal digantikan dengan program baharu yang dilihat dapat membentuk belia masa hadapan yang berwawasan dan tinggi nilai jati diri.

Dalam pada itu, penganalisis politik firma penyelidikan Skydata Centre, Dr. Ainul Adzellie Hasnul berkata, modul PLKN sedia ada sewajarnya dikekalkan tanpa perlu menggantikannya dengan program baharu memandangkan program tersebut telah terbukti berjaya.

Jelas beliau, pemansuhan BTN boleh difahami kerana sering kali dikaitkan dengan agenda politik, namun PLKN yang berpaksikan kepada semangat cintakan negara sebenarnya telah melahirkan generasi muda yang mempunyai jati diri kukuh.

“Saya kurang bersetuju jika mahu memansuhkan PLKN, namun sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menggantikannya dengan program baharu, modul program tersebut haruslah lebih baik dan selari dengan PLKN.

“Hal ini kerana kita amat memerlukan belia yang berdisiplin dan hanya menerusi PLKN kita dapat membina karakter gene­rasi muda, memperkenalkan semangat toleransi antara kaum dan meningkatkan semangat patriotisme dalam diri mereka,” katanya.