Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak menjelaskan, tindakan itu perlu dilakukan agar semua pihak mengetahui undang-undang yang sewajarnya diguna pakai dalam kejadian tersebut.

Tegasnya, penahanan tiga individu di bawah Akta Hasutan 1948 adalah tepat serta wajar dilakukan dalam soal menegakkan keadilan serta undang-undang sedia ada.

“Desakan beberapa pihak agar individu tersebut dikenakan tindakan selain di bawah akta tersebut dilihat sebagai percubaan untuk memperlekeh serta merendahkan bidang kuasa polis.

“Tindakan itu tidak perlu dipertikaikan atas dasar moratorium politik semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan memberitahu, polis menahan tiga individu yang didakwa membuat kenyataan berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V dan mereka disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Namun, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Subang, Farhan Haziq Mohamed serta Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, Syahredzan Johan menyifatkan tindakan itu melanggar moratorium dan menggesa supaya mereka dilepaskan. - UTUSAN ONLINE